Friday, April 8, 2011

TANGGUNGJAWAB ISTERI TERHADAP SUAMI



1 - Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud " Sesiapa sahaja isteri yang meninggal dunia sedang suaminya redha terhadap pemergiannya maka ia akan masuk syurga".

2 - Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud " Apabila seorang isteri telah mendirikan solat 5 waktu dan berpuasa di bulan ramadhan dan memelihara kehormatannya dan mentaati suaminya maka diucapkan kepadanya masuklah syurga dari mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki".

3 - Seorang perempuan datang ke hadapan Nabi s.a.w. lalu berkata " Wahai Rasulullah s.a.w., saya adalah wakil kaum wanita untuk menghadap tuan. Berperang itu diwajibkan oleh Allah swt hanya atas kaum lelaki, jika mereka terluka maka mendapat pahala dan kalau terbunuh maka mereka adalah tetap hidup di sisi Allah swt, dan dicukupkan rezeki (dengan buah-buahan syurga). Dan kami kaum wanita selalu melakukan kewajipan terhadap mereka (iaitu melayani mereka dan membantu keperluan mereka) maka apakah kami boleh ikut memperolehi pahala berperang itu?" Maka Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud " Sampaikanlah kepada wanita-wanita yang kamu jumpa bahawa taat kepada suami dengan penuh kesedaran maka pahalanya seimbang dengan pahala perang membela agama Allah swt, tetapi sedikit sekali daripada kamu sekalian yang menjalankannya"


4 - Wajib bagi seorang isteri :

- Merendahkan pandangannya di hadapan suaminya.
- Tidak khianat terhadap suaminya ketika ketiadaannya termasuk juga hartanya.
- Menunaikan hajat suami bila diajak oleh suaminya biarpun sewaktu sibuk atau susah ( Rasulullah mentamsilkan walau berada di punggung unta sekalipun)
- Meminta izin suami untuk keluar dari rumahnya.

5 - Diceritakan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda maksudnya: "Sesungguhnya semua burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit meminta ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya dan sentiasa dalam keredhaan suaminya. Dan sesiapa sahaja di kalangan isteri yang tidak berbakti kepada suaminya maka ia mendapat laknat dari Allah swt dan malaikat serta semua manusia".
6 - Sesiapa sahaja di kalangan isteri yang bermasam muka di hadapan suaminya maka ia dalam kemurkaan Allah swt sehingga ia dapat membuat suasana yang menggembirakan suaminya dan mohon kerelaannya.

7 - A'isya r.a. berkata: "Wahai kaum wanita, seandainya kamu mengerti kewajipan dirimu terhadap suamimu tentu seorang isteri akan menyapu debu dari kedua telapak kaki suaminya dengan mukanya."


 8- Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya "Jika seorang isteri berkata kepada suaminya 'tidak pernah aku melihat kebajikanmu sama sekali' maka hancur leburlah pahala amal kebajikannya."

9  - Nabi s.a.w. bersabda " Sesiapa isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab-sebab yang sangat diperlukan maka haramlah bau syurga ke atasnya."

10 - Hadith Nabi s.a.w. "Sesungguhnya Allah swt tidak melihat kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya."

11 - Nabi s.a.w. bersabda maksudnya "Urusan pertama yang ditanyakan kepada isteri pada hari qiamat nanti ialah mengenai solatnya dan mengenai urusan suaminya (apakah menjalankan kewajipannya terhadap suaminya atau tidak)"

12 - Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: " 4 perempuan yang berada di neraka ialah:

  - Perempuan yang kotor mulutnya terhadap suaminya; suaminya tiada di rumah dia tidak menjaga dirinya dan jika suaminya bersamanya ia mengherdiknya.

  - Perempuan yang memaksa suaminya untuk memberi apa yang di luar kemampuan si suami.

 - Perempuan yang tidak mempunyai tujuan hidup kecuali makan, minum dan tidur dan ia enggan berbakti kepada Allah swt dan enggan berbakti kepada sumainya ( seorang isteri yang bersifat begini akan dilaknati Allah swt kecuali bertaubat)

 - Wanita yang tidak menutupi dirinya dari kaum lelaki dan keluar rumah dengan menampakkan perhiasannya dan memperlihakan kecantikannya (untuk menarik kaum lelaki).

13 - Al-Hakim bercerita bahawa seorang perempuan berkata kepada Nabi s.a.w. "Sesungguhnya putera bapa saudaraku melamarku, oleh itu berilah peringatan kepadaku tentang kewajipan seorang isteri terhadap suaminya, kalau kebajikan itu sesuatu yang mampu aku jalankan, maka aku bersedia dikahwinkan." Maka baginda bersabda: " Andainya mengalir darah dan nanah dari kedua lubang hidung suaminya lalu dia (isteri) menjilatnya maka itupun belum dianggap menjalankan kewajipannya terhadap suaminya. Sekiranya diperbolehkan untuk manusia bersujud kepada manusia lain, nescaya daku perintahkan para isteri sujud di kaki suami mereka". Berkatalah perempuan itu, " Demi Tuhan yang mengutuskan tuan, aku tidak akan berkahwin selama dunia ini masih ada."

14 - Seorang isteri hendaklah menyedari bahwa seorang suami bagi isteri adalah bagaikan ayah bagi seorang anak kerana taatnya seorang anak kepada ayahnya dan memohon keredhaannya adalah wajib. Seorang suami pula tidak wajib mentaati isteri.

15 - Menjadi pendorong serta penasihat dalam hal-hal agama serta kebajikan.

16 - Memahami hal-hal yang digemari dan yang dibenci oleh suami.

17 - Segala tingkah laku dan perbuatannya hendaklah menyenangkan hati suami.

18 - Sentiasa menambahkan ilmu agamanya serta amalannya dengan apa cara sekalipun seperti dengan membaca serta mengikut majlis-majlis agama.

19 - Demi cinta terhadap suaminya, seorang isteri akan melakukan khidmat dan bakti kepada suaminya dari sebesar-besar perkara sehinggalah kepada yang sekecil-kecilnya seperti mengerat kuku, memotong misai dan meminyakkan rambut suami.

20 - Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Siti Fatimah r.a.: " Ya Fatimah, apabila seorang wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya maka Allah swt akan memberinya minum dari air syurga yang mengalir di sungai-sungainya dan dijadikan kuburnya menjadi sebuah taman yang indah dari taman-taman syurga."

21 - Sentiasa menyediakan air di sisi suami. Selama ia berbuat demikian, selama itulah ia didoakan keampunan oleh para malaikat. Dikatakan sekiranya isteri membawakan air kepada suaminya dengan senyuman maka ia mendapat pahala amalan puasa sunat satu tahun.

22 - Memasak mengikut kesukaan atau selera suami.

23 - Menampal baju atau pakaian suami yang koyak.

24 - Siapkan barang-barang keperluannya seperti sikat, celak, miswak, cermin dan minyak wangi di dalam satu bekas (sunnah).

25 - Ikut kemahuan suami dalam masa bergurau senda, memicit, mengipas dan sebagainya.


"Begitu mudah untuk seorang isteri mendapatkan pahala sebesar gunung dan teramat mudah bagi seorang isteri untuk mendapat dosa seluas lautan"

Tanda ISTERI DERHAKA



Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha bermaksud:

"Aku pernah bertanya kepada Baginda: "Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya". Kemudian aku bertanya lagi :"Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya."
(Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud: "Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya."
(Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)

Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.
Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:



Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya: "Mengapa demikian ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup."
(Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:

"Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Baginda menjawab : "Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya."
(Riwayat Muslim)

Ibnu ‘Asakir pula menyebut: "Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya."

Menyakiti hati suami

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: " Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami."
(Riwayat Ibnu Majah)

Puasa sunat tanpa keizinan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: "Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keluar rumah tanpa izin suami

"Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikatdi langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali."

(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)

Meminta cerai daripada suami

Sabda Rasulallah sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud:

"Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syara’ haram baginya bau syurga."

(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Isteri yang tidak menunaikan hajat suami

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

"Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.

Monday, April 4, 2011

Malam Pertama~~



“Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan Sengsara?”  
Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama’ serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza.

“Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu. Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?”

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita, lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...